Saturday 6 October 2012

KEMAAFAN YANG TERINDAH



Akibat diri disakiti, kita membenci. Kita membenci mereka yang menyakiti kita, lantas menyimpan dendam. Dendam yang disimpan, mengakibatkan hati yang gelap dan penuh dengan laci-laci hitam. Laci-laci hitam yang memenuhi hati dengan fail-fail kenangan pahit mendorong kita untuk terus membenci, berdendam dan tidak lagi mahu memaafkan mereka yang menyakiti hati kita ini.
Mari fikirkan sejenak. Apa yang kita perolehi daripada rasa sakit hati yang dipendam sehingga menjadi benci dan dendam?
Adakah kita berpuas hati?
Adakah kita bebas ke sana ke mari?
Adakah kita berlapang dada?
Adakah kita merasa tenang?
Adakah kita bahagia?
Jika mereka yang menyakiti kita, kenapa harus kita berdendam kepadanya? Yang salah, siapa; kita atau mereka?
Jika yang berhati busuk dan dengki adalah mereka, kenapa hati kita pula yang hitam, dan penuh dengan kebencian?
Jika kita yang teraniaya, kenapa kita pula yang memiliki amarah dalam diri? Bukankah kita yang teraniaya adalah lebih beruntung kerana doa kita berpotensi dimakbulkan Tuhan?
Allah berkata, “.. dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nur:22)
Allah berkata lagi, “Dan segeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwaIaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran:133-134)
Selagi laci hitam tidak dibersihkan, selagi itu fail kenangan pahit yang tebal wujud di dalamnya. Selagi itu hati kita penuh dendam dan kebencian. Selagi itu jugalah kita tidak akan tenteram, kerana kerap memikirkan tentang mereka yang menyakiti kita. Lagi kerap kita memikirkan mereka, lagi tebal fail kenangan itu tersimpan dalam laci yang hitam.
Mungkin kebahagiaan sukar diperolehi kerana hati kita yang hitam.
Mungkin rezeki tidak muncul kerana hati kita yang tidak bersih.
Mungkin jodoh terhalang kerana hati kita yang tidak memaafkan.
Maafkan sahaja mereka, insyaAllah hati kita akan lebih tenang.. dan laci hitam akan terhapus dari peti hati kita.

There Is Always Sunshine After The Rain :)